Support My Blog

Wednesday, October 26, 2011

TERNAKAN KERANG

KERANG (Anadara granosa) merupakan sejenis hidupan dari kumpulan Kerang-kerangan atau Molluska dari keluarga CARDIIDAE yang popular di negara kita. Keluarga kerang mempunyai lebih dari 200 spesis dan sebahagian besarnya tidak sesuai untuk dikomersilkan atau dimakan. Ternakan kerang di Malaysia banyak dijalankan di Pantai Barat Semenanjung Malaysia dari pantai Kedah di utara sehingga ke Johor  dibahagian Selatan Tanah Air. Hanya sedikit kawasan laut di Pantai Timur Semenanjung yang sesuai untuk ternakan kerang. Di Sabah dan Sarawak ternakan kerang kurang dimajukan kerana masaalah keujudan sejenis plankton 'Red Algae' yang beracun dan jika diserap oleh kerang dan merbahaya kepada manusia. Itu sebab harga kerang di Sabah dan Sarawak mahal kerana ianya dibawa masuk dari kawasan lain. Artikel cuti hari Deepavali 2011 kali ini saya membentangkan teknologi penternakan kerang berdasarkan pengalaman saya memantau projek ternakan kerang di kawasan pantai sekitar Merlimau di Melaka, Pantai Muar di Johor, Pantai Bagan Datok di Perak dan Pantai Juru di Pulau Pinang untuk bacaan anda semua. 


1. PENGENALAN
Ternakan kerang di Malaysia mula dikenali dan dikomersilkan dalam tahun 1984 oleh seorang ketua kampung di Kg Bagan Pancor, Perak secara kebetulan. Percubaan ini telah berjaya dan sejak itu ternakan kerang berkembang luas di sepanjang kawasan paya bakau di Pantai Barat Semenanjung Malaysia dan juga dimana dianggarkan keluasan kawasan berpotensi untuk ternakan kerang di Malaysia ialah 28,540 hektar. Spesis kerang yang biasa diternak di Malaysia ialah jenis Anadora granosa. Ia mepunyai pasaran yang baik di negara kita dan juga negara jiran khususnya Thailand dan Singapura. Ternakan ini mempunyai beberapa kelebihan berbanding dengan ternakan yang lain di antaranya ialah kerana a) Kaedah ternakan yang mudah dimana cara pengurusan dan penjagaan yang minima (b) Memberi pulangan/keuntungan yang memuaskan (c) Mempunyai potensi pasaran dengan harga yang menggalakkan. Sehingga kini ternakan kerang dilakukan secara 'kultur separa' iaitu bergantung bekalan benih semulajadi. Benih kerang boleh dihasilkan secara asuhan tetapi perbelanjaannya adalah tinggi dan kadar hidupnya terlalu rendah daripada kajian yang dijalankan.


2) PERSEDIAAN UNTUK TAPAK TERNAKAN
Pemilihan kawasan yang sesuai adalah berdasarkan kepada faktur tanah dan air. Ciri yang sesuai untuk ternakan kerang mestilah dari kawasan yang terlindung dari arus dan ombak laut. Keadaan dasar lautnya yang berlumpur halus dan lembut dengan ketebalan 46-76 cm. Sebaiknya tekstur tanah mengandungi 50-80% liat dan selebihnya kelodak. Kadar kemasinan air sekitar 18(ppt) dan mempunyai kecerunan dasar tapak ternakan yang sederhana dipantai. Kawasan bebas dari pencemaran sisa buangan atau sisa kimia dan bebas dari musuh. Kawasan yang dikenalpasti sesuai terlebih dahulu perlu mendapatkan kelulusan dari kerajaan negeri untuk memperolehi lesen hak milik sementara (TOL). Kajian saya mendapati dikebanyakan kawasan ternakan perlukan keluasan yang ekonomi bagi individu untuk menjalankan ternakan ini adalah 10 hektar (+25 ekar). Jenis kerang yang diternak adalah dari sepsis (Anadara granosa) Kawasan yang sesuai untuk menjalankan ternakan kerang perlu diawasi dari pencerobohan oleh nelayan pantai atau penceroboh dan perlukan kawalan keselamatan.


3) PENGUTIPAN BENIH
Benih-benih kerang biasa terdapat di kawasan daratan berlumpur seperti di pergigian hutan bakau atau muara-muara sungai. Pengutipan benih dibuat setelah ia mencapai saiz antara 4-10 mm. Pengutipan dibuat dengan menggunakan tangguk dawai, dulang kayu dan sekeping papan. Alat ini ditarik melalui permukaan lumpur beberapa kali kemudian dibersihkan untuk mengasingkan benih kerang dengan lumpur. Pengutipan benih biasanya menggunakan sampan di kawasan semulajadi pantai semasa air surut. Harga benih kerang bergantung pada saiz benih, untuk saiz 1,000-3,000 biji/kg harganya dianggarkan RM60.00/guni. Saiz benih kerang yang ditabur ialah 6.4cm. Penyeludupan benih kerang ke Thailand sering menjadi isu disempadan kerana permintaan yang tinggi dari negara tersebut.


4) MENABUR BENIH KERANG DI TAPAK TERNAKAN
Kerja-kerja penaburan benih dibuat dengan menggunakan bot yang berinjin. Sebelum taburan benih dibuat perlu agar cengkerang-cengkerang dan musuh-musuh kerang (siput pengorek) perlu dibuang. Penaburan benih perlu dibuat pada cuaca yang baik dan dimana keadaan air mula pasang. Benih perlu ditabur sebaik sahaja ianya sampai ke tapak projek untuk mengelakkan kematian benih akibat tekanan (stress). Penaburan benih perlulah sekata supaya kerang membesar dengan baik. Kadar penaburan benih adalah bergantung kepada saiz benih dan kesesuaian kawasan.


5) MENGUBAH SELERAK KERANG DAN MEMBUANG PEMANGSA 
Dalam tempoh 3-4 bulan setelah anak benih ditabur maka   kepadatan kerang mesti diperiksa. Sekiranya didapati tidak sekata maka ia perlu diubah selerak atau 'diserak' untuk menghasilkan tumbesaran kerang yang cepat dan sekata. Semasa aktiviti ubah selerak dibuat musuh-musuh kerang mesti dikutip atau ditangkap dan dibuang atau dibunuh. Di antara musuh-musuh kerang ialah Siput duri, Siput belitung kecil, Siput umum, Siput halia, Siput bintang dan Ikan pari. Pengalaman saya memeriksa kawasan kerang mendapati saiz kerang kerang dewasa yang mencapai saiz pasaran ialah 3.8cm.


6) PEMELIHARAAN HINGGA KE SAIZ PASARAN
Penternakan kerang untuk mencapai saiz pasaran iaitu 80 -100 biji/kg (70 biji/kati) biasanya ternakan kerang akan mengambil masa 12-18 bulan bermula dari tarikh benih ditabur. Tumbesaran kerang dipengaruhi oleh kesuburan tapak, mutu air, saiz benih yang ditabur dan kepadatan. Kajian menunjukkan kekerapan memeriksa kerang penting untuk mempastikan saiz pembesaran dan kawalan keselamatan. Terdapat kes-kes dimana pencerobohan dilakukan oleh orang asing yang mengetahui tentang kerang yang sudah sedia untuk dituai pada malam hari.


7) PENGENDALIAN PUNGUTAN KERANG BESAR
Perancangan strategi pemasaran penting dikaji terlebih dahulu sebelum mengutip hasil kerang. Ini kerana kerang perlu msih hidup sampai kepada pengguna terakhir. Sebelum hasil ternakan dipungut untuk dipasarkan maka penganggaran stok perlu dibuat bagi mengetahui kuantiti stok kerang tersebut untuk dijual secara runcit atau tender. Pungutan dibuat dengan menggunakan tangguk dawai dimana secara asasnya alat ini sama dengan alat pengutipan benih cuma jarak dawai (mesh size) adalah lebih besar. Aktiviti Pengendalian Pungutan Kerang ini dengan cara :- 
a. Menggoncang alat mengutip kerang tersebut. 
b. Simpan sementara di dalam bot hingga didaratkan ke pangkalan 
c. Mengasingkan kerang daripada sampah, cengkerang-cengkerang kosong dan siput-siput lain. 
d. Mengisi kerang ke dalam guni dengan anggaran 70 kg/guni. 
e. Mengangkut kerang untuk dijual kepada pemborong atau peruncit.


8. HASIL PENDAPATAN KERANG
Kajian mendapati cara CASHFLOW bagi ternakan kerang iaitu cara mengira kos pengeluaran dan pendapatan seperti berikut : 
(a) Saiz bersih kerang – 2,000 biji/kg (b)Taburan benih – 50 guni/ha 
(c) Tempoh ternak -18 bulan 
(d) Luas kawasan ternak – 10 ha 
(e) Kadar Hidup – 50% 
(f) Saiz Pasaran – 100 biji/kg 
(g) Harga Kerang Besar – RM 25.00/guni 1 Guni – 70 Kg 
(h) Jualan 1,000 guni/ha x Rm45/guni x 10ha x 50% RM225,000 
(i) Kos Operasi Benih Kerang 50 guni/ha x 10 ha x RM150/guni RM75,000 
(j) Upah Tabur RM 10,000 
(k) Upah Selerak dan Cuci Kawasan RM15,000 
(l) Jumlah RM100,000 
(m) Penyelenggaraan Penyelenggaraan Bot RM5,000 
(n) Minyak Bot RM10,000 
(o) Penyelenggaraan Enjin/pancang kawasan RM5,000 
(p) Penyelenggaraan Pondok RM3,000 
(q) Lain-lain RM2,000 
(r) Jumlah RM25,000 
(s) Kos Pengurusan Bayaran TOL (250×20) x 18 bulan RM10,000 
(t) Gaji 2 orang jaga (2×650) RM23,400 
(u) Luar Jangka RM10,000 
(v) Jumlah RM43,400 
(w) Jumlah Besar/Perbelanjaan RM168,400 
(x) Pendapatan Pendapatan Kasar / pusingan RM56,600 (Jualan- Perbelanjaan) 
(y) Pendapatan Bulanan (dalam masa 18 bulan) RM3,144.00


9. MASALAH TERNAKAN KERANG
Masalah yang mungkin dihadapi dalam ternakan kerang pada masa ini ialah seperti isu Bekalan Benih tidak tetap atau tidak mencukupi, Isu Kecurian, Masaalah musuh-musuh kerang (pemangsa) dan juga isu pencemaran air (Buangan Perindustrian). Kajian mendapati serangan oleh Siput Halia ialah salah satu musuh utama kerang . Peluang pelaburan dalam projek ternakan adalah terbuka kepada semua terutamanya Persatuan Nelayan, kumpulan nelayan dan juga perseorangan.


Industri ternakan kerang banyak bergantung kepada kualiti air dan keujudan persekitaran yang sesuai bagi industri ternakan kerang. Permintaan kerang adalah terus meningkat setiap tahun dimana kerang ini di makan dalam pelbagai cara diantaranya sebagai Kerang Rebus, Rendang Kerang, Kerang Bakar, Satey Kerang, Sambal Kerang, Sos Kerang, Kerang Kering, Mee Tiow Kerang dan banyak lagi menu yang menggunakan kerang. Kandungan zat makanan yang banyak mengandungi kalsium membantu kesihatan kita dan menjadi keperluan penduduk di Malaysia. Semuga industri ini akan diteruskan dengan mamperbanyakan lagi kajian dan penternakan dikawasan yang sesuai.


TERNAKAN KERANG...SEMAKIN TERANCAM....
BENIH KERANG...JUGA SEMAKIN KURANG...
KAWASAN TERNAKAN...BANYAK GANGGUAN...
SATE KERANG ...MEMANG SEDAP DIMAKAN....


Related articles:
1. Siput Sedut (Klik disini)
2. Ikan Puyu (Klik disini)
3. Kupang (Klik disini)
4. Belut (Klik disini)
5. Udang Galah (Klik disini)


By,
M Anem
Merlimau, Melaka,
Malaysia
(28 Zulkaedah 1423H)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

THANK YOU

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...